"Saya nak kacau siapa lagi. Saya bosan la. Awak asyik tekun mengadap lukisan tu. Berbual pun tak nak. Baik awak tak payah ajak saya datang sini." rajuk Iqbal minta dipujuk. Terus dia meletakkan ranting kayu yang digunakan untuk mengganggu konsentrasi Amelia tadi.
"Laa .. awak juga yang cakap awak nak ikut. Saya tak pernah paksa awak tau. Lagipun kat sini kan tenang dan aman je. Awak tak suka?" pujuk Amelia lembut tetapi mata masih tidak berganjak dari kertas putih di depannya. Hampir siap gambar pemandangan tasik di atas kertas itu. Cantik.
"Ye la. Tapi minggu ni asyik datang sini je. Bosan la. Lepas tu nak tunggu awak siapkan lukisan tu lagi .. lama sangat saya kena tunggu." Iqbal mencebik.
"Jangan la buat muka seposen macam tu. Awak sabar la sikit okay? Bila dah siap drawing ni, kita tak payah pergi sini lagi, okay?" Amelia memandang Iqbal sambil mengenyitkan matanya. Seperti memujuk anak kecil yang merajuk.
"Janji?" pinta Iqbal. Sambil mengangkat jari kelingkingnya.
Amelia mengangguk sambil tersenyum. Dia menyambut dengan jarinya seperti biasa. Iqbal akan lakukan perkara tersebut jika ingin menjanjikan sesuatu. Iqbal tersenyum riang. Itulah salah satu sifat yang amat disukainya. Amelia tak pernah memarahinya walaupun kadang-kadang perangainya menyakitkan hati. Amelia sabar orangnya. Amelia juga cantik walaupun tanpa sebarang mekap. Dia sangat beruntung dapat mengenali wanita bernama Amelia.
"Lia, kenapa awak suka tempat ni? Kalau awak nak melukis, mesti awak datang sini. Kan banyak lagi tempat lain yang cantik-cantik." tanya Iqbal sambil mengadap Amelia. Amelia tersenyum mendengar pertanyaan buah hatinya itu.
"Hmm .. dekat sini aman. Saya suka tempat ni. Lagipun ini tempat pertama kita jumpa. Sebab tu saya suka. Tempat ni buat saya happy. Nanti kalau awak rasa sunyi ke .. sedih ke .. awak datanglah sini." terang Amelia sambil memandang ke arah Iqbal.
"Saya akan datang dengan awak. Buat apa saya nak datang sorang-sorang. Tak kisah di mana-mana pun. Selagi ada awak .. saya takkan rasa sunyi." Iqbal tersenyum. Merah muka Amelia menahan malu.
"Alamak. Saya tak sengaja." gurau Iqbal kerana dia tercalit warna di hidung Amelia. Sengaja dia berbuat begitu. Dia suka tengok Amelia marah. Amelia terkejut lalu bingkas bangun dan mengejar Iqbal keliling tasik. Kedengaran hilai tawa mereka. Mereka seperti berada di dunia yang mereka cipta sendiri. Bahagia.
"Okay .. okay. Saya dah penat la. Jom balik. Dah nak Maghrib ni. Esok petang kita datang sini lagi ye? Awak tolong saya kemas ye." ujar Amelia mengah sambil menyusun warna-warna yang digunakan dalam beg khas yang sering dibawa kemana sahaja dia pergi.
"Tak nak. Awak kemas la sendiri." Iqbal sengaja menunggu reaksi Amelia.
"Okay .. tak nak tolong tak apa." Amelia menjawab mendatar.
"Haha .. merajuk la tu. Sini saya tolong kemaskan." Iqbal tergelak melihat muncung Amelia.
"Baru minta tolong sikit." ujar Amelia perlahan.
"Saya gurau je. Muncung tu panjang sangat sampai boleh sangkut hanger." ujar Iqbal sambil tertawa. Amelia yang pada mulanya mahu merajuk terus ketawa bersama.
* * * * *
Sejak kali terakhir mereka berjumpa, jarang sekali Iqbal mendapat panggilan dari Amelia. Jika ada pun, cepat-cepat sahaja Amelia ingin meletakkan telefon. Sibuk katanya. Mesej memang tiada langsung. Semakin lama semakin Amelia menyepi. Iqbal semakin pelik. Adakah Amelia marah terhadapnya? Habis kesemua teman-teman Amelia dihubunginya. Masing-masing memberi jawapan yang sama. Mereka tidak tahu. Perkenalan yang singkat antara mereka berdua membuatkan Iqbal tidak begitu mengenali ahli keluarga Amelia. Yang dia tahu Amelia anak tunggal dan berasal dari Perak. Iqbal memarahi dirinya sendiri kerana tidak terlintas di fikiran sebelum ini untuk bertanya.
Dua minggu berlalu. Amelia masih menghilang. Iqbal buntu mencari merata-rata. Tak tahu dengan siapa lagi dia mahu bertanya. Seperti orang gila mencari Amelia. Dia betul-betul terasa kehilangan Amelia. Dia rasa kosong dan sunyi. Kerja-kerja pejabat semuanya dipandang sepi. Seakan separuh nyawanya di bawa pergi. Amelia .. awak di mana? Saya rindu sangat dengan awak. Kenapa awak buat saya begini? Setitis air mata gugur lagi dari hujung matanya untuk kesekian kalinya.
Tidurnya tersentak dengan deringan telefon lagu kegemaran Amelia, "Note to God" yang menjadi ringtone telefon bimbitnya. Lagu itu akan berbunyi jika pengarang jantungnya itu menghubunginya. Sambil menggosok-gosok mata, tertera nama Amelia di skrin telefonnya. Pantas dia menekan button hijau.
"Amelia ! Awak ke tu? Mana awak pergi ni? Kenapa awak senyap dan hilangkan diri? Kenapa buat saya macam ni? Awak nak seksa saya ke? Awak memang pentingkan diri sendiri kan? Puaslah hati awak buat saya macam ni kan?" semua kata-kata yang lama tersimpan terhambur keluar sebelum sempat mendengar suara di hujung sana.
"Err .. assalamualaikum. Ni Iqbal ke?" suara dihujung sana kedengaran selepas diherdik pelbagai kata-kata tadi.
"Waalaikumussalam." Iqbal terkedu. Itu bukan suara Amelia. Iqbal pasti.
"Hiks. Betul Amelia cakap, awak ni cepat marah." kedengaran gelak kecil di hujung sana.
"Eh .. awak ni siapa? Kenapa awak pakai nombor ni? Awak ni penculik ke? Awak culik Amelia ke? Berapa awak nak, saya bagi." Iqbal mula cemas.
"Haha .. kelakar la awak ni. Tak baik tuduh saya culik Amelia. Boleh kita jumpa?" balas suara itu sambil ketawa. Iqbal merasakan gelak ketawa perempuan itu saling tak tumpah seperti Amelia tapi masih ada kelainan.
"Ni kenapa pula nak jumpa-jumpa ni? Saya bank-in je duit tu tak boleh ke?" risau dia nak berjumpa dengan perempuan itu. Mana la tahu dia bawa geng, habislah dia dibelasah nanti.
"Haha .. peguam memang perangai macam ni ke? Imaginasi awak tinggi sangat. Awak banyak sangat tengok cerekarama ni. Hmm .. kita jumpa di tempat pertama yang awak dan Amelia bertemu dulu .. boleh? Saya tunggu awak." terus perempuan itu mematikan talian.
Tak sempat Iqbal bersuara. Siapa dia ni? Apa yang dia nak? Lantas dia bersiap dan mencapai kunci kereta di atas meja. Dalam fikirannya pelbagai persoalan yang memeningkan kepalanya. Tanpa dia sedari, pedal minyak terus ditekan. Dia mahu sampai ke sana dengan segera.
* * * * *
Pantas kakinya menghayun langkah. Dari jauh, kelihatan seorang perempuan duduk bersimpuh di tempat dia dan Amelia sering menghabiskan masa bersama. Iqbal mengetap bibir menahan marah kerana diperlakukan sedemikian. Dia telah menyusun kata-kata yang lama dia simpan di kepalanya untuk dilepaskan kepada Amelia. Dia geram.
"Awak !" Iqbal memanggilnya. Tapi belum sempat Iqbal menuturkan kata-kata, dia terdiam apabila perempuan untuk memalingkan mukanya. Ini bukan Amelia ! Tapi kenapa mukanya saling tak tumpah seperti Amelia. Bezanya cuma dengan cara pemakaian dan tahi lalat di tepi bibirnya. Seperti kembar.
"Oh .. maaf. Saya ingat tadi kawan saya." Iqbal memohon maaf.
"Hmm .. Iqbal?" tanya perempuan itu kembali.
"Awak ni siapa?"
"Saya Ameira. Kembar Amelia. Dia kakak saya." perempuan itu tersenyum.
"Oh .. saya tak tahu Amelia ada adik. Setahu saya dia anak tunggal. Patutlah muka sama. Terkejut juga saya tadi." ujar Iqbal.
"Hiks. Saya dengan Amelia terpisah semasa kami masih kecil lagi. Baru-baru ni baru kami berjumpa." terangnya.
"Mana Amelia? Kenapa dia tak ada di sini? Takut saya marah ke sebab tu dia hantar awak?" sambil mata meliar mencari kelibat Amelia. Dia sangat rindu untuk melihat wajah pengarang jantungnya itu.
"Ni untuk awak." Ameira menghulurkan beberapa helai kertas lukisan dari begnya.
Iqbal menyambutnya pelik. Dia melihat satu persatu lukisan tersebut. Dia terkejut kerana semua lukisan itu gambar pemandangan dan tempat-tempat yang mereka pernah lawati sebelum ni. Tak tertinggal satu pun. Dia juga masih ingat ke semua tempat-tempat itu termasuk lukisan yang terakhir dia berjumpa dengan Amelia. Iqbal makin tak faham.
"Kenapa bagi saya lukisan-lukisan ni?" tanya Iqbal.
"Iqbal .. Amelia sudah tiada." mendatar suara Ameira.
"Tiada? Dia pergi mana pulak?"
"Amelia pergi tinggalkan kita semua buat selama-lamanya." menitik airmata Ameira apabila mengungkapkan kata-kata tersebut.
"Ameira .. apa awak merepek ni? Saya tak suka. Dia ada kat sini kan? Dia saja suruh awak buat macam tu kan?" Iqbal bingkas bangun.
"Amelia ! Jangan main-main macam ni. Saya tak suka. Okay, saya janji saya tak marah awak. Sudah-sudah la tu. Saya dah penat cari awak. Keluarlah !" jerit Iqbal sambil matanya mencari di sekelilingnya.
"Iqbal .. saya tak tipu. Lukisan-lukisan tu amanat dia yang terakhir sebelum dia menghembuskan nafasnya. Dia nak saya beri pada awak." Ameira mula menangis teresak-esak.
Seperti batu besar yang menimpa kepala, Iqbal terasa pening. Dia terduduk. Terasa kakinya tidak menjejak bumi. Terawang-awangan rasanya. Ya Allah .. dugaan apa yang menimpa aku ini? Aku bermimpi ke?
"Macam mana boleh jadi begini Ameira? Mengapa tak beritahu saya lebih awal?" airmata jantannya merembes keluar tanpa segan. Dia tak peduli. Kesedihannya tak dapat dibendung lagi.
"Amelia kemalangan sewaktu dia ingin menjemput saya untuk menemui abah. Dah lama Amelia mencari saya. Baru 3 bulan lepas kami berjumpa. Dia ingin memberi kejutan untuk abah. Begitu lama dia merancang untuk pertemuan ini. Amelia sangat excited dan bersungguh-sungguh merancang. Tak sangka begini kesudahannya." terang Ameira tersedu-sedu.
"Tapi mengapa dia tak menghubungi saya? Saya pernah menelefonnya tetapi sibuk katanya." ujar Iqbal tak puas hati.
"Waktu itu dia memang sibuk. Selain mencari saya, dia sedaya upaya menyiapkan lukisan-lukisan itu. Takut tak sempat katanya. Dia sering datang sendirian ke sini untuk menyiapkannya tanpa pengetahuan awak. Dia nak bagi kejutan pada awak nanti." terang Ameira.
Iqbal tunduk memandang rumput yang hijau. Pandangannya berkaca-kaca. Rasa bersalah menyelubunginya kerana sering merungut setiap kali diajak ke situ. Sekali lagi airmatanya gugur ke bumi.
"Sebelum dia menghembuskan nafasnya, dia meninggalkan lukisan-lukisan ini untuk awak. Dia takut awak lupa tempat-tempat yang awak dan dia pernah lawati. Walaupun awak selalu merungut mengenai hobi melukisnya, tapi dia tak pernah ambil hati. Kerana dia tahu, itulah kenangan paling berharga dalam hidupnya. Dia sangat sayangkan awak Iqbal. Awak cinta pertama dalam hidupnya. Dia pernah cakap, dia sangat bahagia bersama awak."
Airmata Iqbal deras mengalir tanpa boleh disekat. Hati lelakinya betul-betul tersentuh. Ya Allah ! Mengapa aku tidak pernah nak menjaga hatinya? Tangannya terhenti pada lukisan terakhir kerana di bawah lukisan tersebut tertera ayat :
"IQBAL .. terima kasih kerana pernah hadir dalam hidup saya dan membahagiakan saya .. saya tetapkan sayangkan awak hingga ke akhir hayat saya .." ~ AMELIA ..
"Tempat ni buat saya happy. Nanti kalau awak rasa sunyi ke .. sedih ke .. awak datanglah sini." terngiang kata-kata Amelia yang pernah diungkapkan kepadanya dulu.
Ya .. saya akan datang ke sini Amelia. Saya janji. Iqbal terus bangun lemah dan menghayun langkahnya sambil memeluk erat lukisan-lukisan itu. Akan disimpan baik lukisan-lukisan itu kerana hanya itulah kenangan dia bersama Amelia.
p/s : kesedihan dan kekesalan akan terasa apabila kita kehilangannya ..
No comments:
Post a Comment